Kebahagiaan adalah suatu yang abstrak yang lahir dari hati seseorang. Tanda kebahagiaan antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa tenang, suka dan gembira. Ini dapat dinilai melalui raut wajah dan tingkah lakunya. Kebahagiaan adalah sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Ia
menjadi suatu matlamat hidup seseorang di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu mengapa setiap orang sanggup bersusah payah dan bermati-matian untuk mencari kebahagiaan.
Sebaliknya kegagalan untuk mendapat kebahagiaan akan membawa kepada kekecewaan. Kita dapati, ramai orang menjadi gila kerana hidupnya tidak bahagia. Ada pula yang sanggup mati kerana gagal menemui kebahagiaan. Hakikatnya kemuncak kebahagiaan sebenar dalam hidup seseorang itu ialah apabila ia telah berjaya melakukan kebaikan atau amal soleh serta menghindari segala bentuk larangan yang telah ditetapkan oleh Islam. Ciri utama yang menjadi ukuran masyarakat yang bahagia ialah mereka yang patuh kepada suruhan Allah secara terus menerus dengan penuh khusyu’
Mewujudkan suasana penghayatan Islam dalam keluarga
Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula di rumah. Untuk menjadikan rumah sebagai syurga maka aktiviti-aktiviti seperti mendirikan sembahyang secara berjemaah, membaca al-Quran, memberi salam ketika masuk dan keluar rumah dan sebagainya perlu dihidupkan bagi mewujudkan suasana yang harmoni di dalam sesebuah rumah tangga.
Mengekalkan kedamaian dan Kerukunan rumah tangga
Rumah tangga bahagia ialah rumah tangga yang wujud unsur-unsur kedamaian dan keselesaan. Suami sebagai ketua keluarga berkewajipan memimpin isteri dan anak-anaknya menerusi kehidupan yang diredhai Allah SWT dengan memberi didikan agama dan menerapkan nilai-nilai murni kepada mereka. Di antara unsur-unsur kedamaian di dalam rumah tangga ialah menanamkan sikap tolong menolong dan bantu membantu dalam keluarga, menjalinkan semangat kejiranan yang baik, menunaikan tuntutan fardhu kifayah, mengadakan aktiviti rekreasi dan sebagainya. Semuanya ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang dan mewujudkan kemesraan dalam
keluarga.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi7p1IO2ANr902RZXhZr3upZRzxVYuDhs81MVIlLQonTDkML48SRpnbMWYlZz0IAugiFKrum47reD0ZbONd6q3abStuCC7vJ1NLa4X81mV8z9LvWM2nXSpokUNktJY3JOs935VtmJB8F6c/s320/37353_426402871984_580521984_4732464_3750355_n.jpg)
Mengukuh dan menjaga ekonomi rumah tangga
Tidak dinafikan bahawa wang dan harta merupakan satu keperluan dalam kehidupan berumah tangga, lebih-lebih lagi di zaman yang serba mencabar ini. Boleh dikatakan hampir keseluruhan keperluan hidup memerlukan wang. Oleh itu Islam menyuruh umatnya bekerja kuat mencari kehidupan yang kukuh dan maju supaya dunia ini dipenuhi dengan kemakmuran. Dalam memperkukuhkan kedudukan ekonomi rumah tangga, setiap keluarga mestilah menguruskan soal-soal perbelanjaan dengan jalan yang betul dan halal. Perkara-perkara yang menjadi tegahan agama seperti pembaziran,
makan riba, rasuah, menipu, merompak dan sebagainya wajib dijauhi malahan Islam menyuruh umatnya supaya hidup bersederhana dan berjimat cermat serta mengutamakan keberkatan Ilahi. Rezeki yang diperolehi itu sepertiga daripadanya hendaklah dibelanjakan untuk maksud nafkah, satu pertiga untuk maslahat umur seperti zakat, sedekah dan seumpamanya dan sepertiga lagi adalah untuk tabungan atau simpanan untuk kegunaan di masa depan.
Mewujudkan keselesaan dan keindahan dalam rumah tangga
Rumah tangga adalah tempat sesebuah keluarga menikmati hidup. Keselesaan dalam rumah amat mustahak kerana kebahagiaan keluarga itu bermula di rumah. Kebersihan di dalam rumah akan melahirkan suasana yang harmoni dan sejahtera kerana kebanyakan gejala sosial hari ini adalah berpunca dari kepincangan rumah tangga dan keadaan rumah yang tidak terurus.
Berkomunikasi secara baik
Hubungan antara individu dalam keluarga adalah penting untuk menjamin keharmonian di dalam rumah tangga. Aspek hubungan antara individu atau komunikasi ini amat dititikberatkan oleh Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia...”.
(ali-Imran: 112)
Di dalam ayat di atas jelas menunjukkan unsur berhubungan amatlah penting untuk menjamin manusia mencapai kebahagiaan. Dalam mencapai tahap kesempurnaan sesebuah keluarga, setiap ahli keluarga hendaklah memahami diri dan peranan masing-masing serta menjalankan kewajipannya.
Manakala bagi mengekalkan dan meningkatkan hubungan baik dalam keluarga pulak, aspek kemahiran komunikasi adalah sangat penting. Kebanyakan orang tidak peka dengan keperluan ini dan tidak mengambil inisiatif untuk memahami setiap permasalahan yang timbil dalam keluarga sedangkan pendekatan ‘hikmah’ seperti toleransi, pemaaf dan sebagainya amat dituntut oleh syarak.
Memupuk kasih sayang dalam keluarga
Kasih sayang dalam keluarga adalah penting. Elemen ini perlu wujud dan disuburkan dalam sesebuah keluarga bagi melahirkan kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan. Banyak cara boleh dilakukan bagi mewujudkan perasaan kasih sayang dalam keluarga.
Di antaranya ialah melalui didikan yang sempurna. Selain pendidikan secara formal yang diterima di sekolah, anak-anak juga perlu dibentuk dan ditanamkan dengan perasaan kasih sayang dan semangat kerjasama, tunjuk ajar, nasihat dan kaunseling yang membina. Lebih daripada itu anak-anak bukan sahaja perlu diajar supaya saling menyayangi sesama ahli keluarga, malah merasa sayang terhadap binatang peliharaan dan harta benda.
Mereka hendaklah selalu diingatkan bahawa Allah SWT sangat suka kepada orang-orang yang mempunyai perasaan kasih sayang, suka bekerjasama dan tolong menolong sesama sendiri. Sebaliknya Allah SWT benci kepada orang-orang yang sering bergaduh, bermusuh-musuhan, tidak mahu bekerjasama dan benci-membenci sesama sendiri. Sekiranya berlaku perkara-perkara yang boleh merosakkan hubungan kasih sayang di dalam sesebuah keluarga, setiap ahlinya terutama sekali para ibu bapa hendaklah segera mencari jalan penyelesaian.
Sesungguhnya kasih sayang adalah sangat penting dalam sesebuah keluarga. Sekiranya dalam sesebuah keluarga itu tidak wujud satu ikatan yang baik dan harmoni, maka masyarakat akan menjadi pincang, lantas bangsa dan negara menjadi lemah. Apabila situasi ini berlaku kemajuan tidak akan dapat dicapai dan masyarakat penyayang tidak dapat diwujudkan.
0 Ulasan:
Post a Comment